Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan salah guna kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memperoleh sumbangan wang berjuta-juta ringgit menerusi Ahli Parlimen Pagoh itu yang ketika itu Perdana Menteri.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan tujuh pertuduhan yang didakwa terhadap Muhyiddin itu di Mahkamah Tinggi di sini.

“Kami akui bahawa wang berjuta-juta tidak masuk poket tertuduh, namun ia masuk ke dalam akaun BERSATU yang juga sekutunya yang mana Muhyiddin adalah mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam projek Jana Wibawa.

“Kami akan membuktikan jika tidak kerana tertuduh selaku Presiden BERSATU dan Perdana Menteri, parti itu tidak akan dapat sumbangan berjuta-juta wang,” kata ketika membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit mesyuarat oleh OKT (tertuduh) dan Menteri Kewangan tidak mendapat apa-apa keuntungan di dalam membuat tindakan tersebut begitu juga dengan sekutu Menteri Kewangan ketika itu iaitu UMNO juga tidak mendapat apa-apa keuntungan.

Beliau berkata, tertuduh menghadapi empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (ALMATFPUAA) iaitu pertuduhan berkenaan kesalahan penggubahan wang haram.

“Kami akan bergantung kepada keterangan dokumentari, keterangan terus dan keterangan ikut keadaan dalam membuktikan kes kami. Kami akan memanggil lebih kurang 30 orang saksi.

“Di dalam membuktikan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) ASPRM kami hanya akan bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23 (2) ASPRM,” katanya.

Muhyiddin, 79, didakwa pada 2023 atas tujuh kesalahan yang merangkumi empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff.

Suapan yang didakwa itu dikaitkan dengan Jana Wibawa, iaitu program kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik COVID-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Muhyiddin juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun AmBank serta CIMB Bank milik BERSATU.

Kredit : Harian Metro

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *