PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar persaingan untuk menentukan parti bakal menerajui kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Lebih penting daripada itu, PRN itu menjadi medan menguji tahap kematangan demokrasi dan intelektualisme politik dalam kalangan masyarakat, terutama pengundi.
Selepas melalui pelbagai episod perubahan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat semakin menyedari politik bukan lagi bergerak dalam kerangka lama mudah difahami.
Parti yang suatu ketika dahulu saling bermusuhan kini boleh memilih untuk bekerjasama. Parti pernah berada dalam gabungan sama pula boleh kembali bersaing.
Perubahan ini menjadikan landskap politik semakin dinamik dan menuntut rakyat melihat politik dari sudut lebih luas serta lebih matang.
Keadaan ini menjadikan PRN Negeri Sembilan lebih daripada sekadar pertandingan antara parti, tetapi menguji sejauh mana masyarakat mampu menilai politik secara rasional tanpa dipengaruhi sentimen keterlaluan.
Bermakna, dalam suasana sebegini, persoalan lebih utama bukan lagi siapa bakal menang, tetapi sama ada rakyat benar-benar mampu membezakan antara strategi politik dengan keupayaan sebenar untuk mentadbir negeri.
Politik hari ini semakin bergantung pada pembentukan persepsi. Setiap parti berusaha meyakinkan rakyat merekalah pilihan terbaik untuk mentadbir negeri.
Ada mengetengahkan kestabilan politik sebagai kekuatan utama. Ada yang menawarkan perubahan sebagai jalan keluar kepada pelbagai kelemahan sedia ada.
Tidak kurang juga yang cuba membina keyakinan melalui rekod pentadbiran dan pencapaian sepanjang memegang amanah. Semua pendekatan ini sebahagian daripada strategi persaingan politik.
Namun, strategi politik tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas kepada pertimbangan rakyat. Politik matang memerlukan pengundi melihat melangkaui slogan, retorik dan persembahan kempen.
Yang lebih penting ialah kemampuan menilai sama ada setiap janji mempunyai asas kukuh, sama ada dasar ditawarkan boleh dilaksanakan dan sama ada calon diketengahkan benar-benar memiliki keupayaan memimpin.
Pengalaman bentuk cara lihat politik
Dalam konteks Negeri Sembilan, cabaran ini menjadi semakin signifikan kerana rakyat melalui pelbagai pengalaman politik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka menyaksikan perubahan kerajaan, pembentukan gabungan baharu dan perubahan hubungan antara parti politik sebelum ini sukar dibayangkan.
Pengalaman ini sedikit sebanyak membentuk cara masyarakat melihat politik. Ramai tidak lagi menerima sesuatu kenyataan secara bulat-bulat.
Sebaliknya mereka mula bertanya mengapa sesuatu kerjasama diwujudkan, apakah tujuan sebenar sesuatu strategi dan siapakah memperoleh manfaat daripada perubahan ini.
Perubahan cara berfikir seperti inilah menjadi petunjuk kepada peningkatan intelektualisme politik dalam kalangan masyarakat. Pengundi matang tidak mudah terpesona dengan janji kedengaran menarik, tetapi sukar dilaksanakan.
Mereka juga tidak cepat membuat kesimpulan hanya kerana dipengaruhi emosi atau persepsi dibentuk melalui media sosial. Sebaliknya mereka akan membandingkan hujah, menilai rekod pentadbiran dan mempertimbangkan kesan sesuatu dasar terhadap kehidupan rakyat.
Keputusan dibuat pengundi bukan lagi sekadar mencerminkan kecenderungan politik, malah menggambarkan tahap kematangan mereka memahami realiti politik semasa.
Perubahan ini menunjukkan sebahagian besar masyarakat mula melihat politik dari sudut keberkesanan pentadbiran dan bukannya semata-mata melalui sentimen kepartian.
Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan isu berkaitan identiti, kaum dan agama masih mempunyai pengaruh tertentu dalam masyarakat. Namun, pengaruh itu tidak lagi berdiri sendiri seperti suatu ketika dahulu.
Uji kebijaksanaan masyarakat
Sebahagian besar pengundi kini cenderung menimbang pelbagai faktor secara serentak sebelum membuat keputusan.
Mereka bukan sahaja melihat siapa calon bertanding, malah menilai kemampuan calon menyelesaikan masalah setempat dan mampu membawa pembangunan kepada kawasan diwakili.
Dalam erti kata lain, persaingan politik semakin bergantung kepada keupayaan meyakinkan rakyat melalui prestasi dan dasar realistik, bukannya sekadar memainkan sentimen yang bersifat sementara.
Masyarakat hari ini juga bukan lagi kekurangan maklumat. Sebaliknya mereka berhadapan dengan lambakan maklumat daripada pelbagai saluran, terutama media sosial.
Dalam keadaan sedemikian, tidak semua maklumat yang diterima mempunyai tahap ketepatan sama. Ada yang berasaskan fakta, manakala sebahagian lagi dibentuk bagi mempengaruhi persepsi masyarakat.
Situasi ini menjadikan keupayaan menilai sumber maklumat sebagai satu kemahiran amat penting.
Pengundi yang benar-benar memiliki pemikiran matang tidak akan menerima setiap dakwaan tanpa penelitian. Mereka akan menyemak kesahihan maklumat, membandingkan pandangan daripada pelbagai sumber dan menilai sesuatu isu berdasarkan fakta boleh disahkan.
Pada masa sama, masyarakat perlu membezakan antara perubahan strategi politik dengan perubahan prinsip. Kerjasama politik adalah perkara lumrah dalam sistem demokrasi.
Namun, setiap bentuk kerjasama perlu dinilai berdasarkan matlamat, kesannya terhadap kestabilan pentadbiran dan manfaatnya kepada rakyat.
Pengundi yang matang tidak akan menerima atau menolak sesuatu kerjasama hanya kerana faktor emosi. Mereka akan melihat sama ada kerjasama itu mampu menghasilkan pentadbiran lebih berkesan dan memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri.
Hakikatnya, pilihan raya bukan sekadar proses memilih kerajaan, tetapi menjadi ruang untuk rakyat menilai sejauh mana parti benar-benar memahami keperluan masyarakat.
Pilihan raya turut menguji sama ada masyarakat memiliki kebijaksanaan untuk menilai setiap tawaran politik secara objektif.
Hubungan ini menunjukkan kematangan parti politik dan kematangan pengundi sebenarnya saling berkait antara satu sama lain.
Ukuran sebenar kejayaan parti dan gabungan pada PRN Negeri Sembilan tidak terletak pada jumlah kerusi dimenangi sejauh mana masyarakat mampu membuat keputusan berdasarkan ilmu, pertimbangan rasional dan kepentingan bersama.
Sekiranya rakyat berjaya membezakan antara retorik dengan realiti, antara persepsi dengan fakta dan antara strategi dengan prinsip, maka demokrasi bergerak selangkah ke hadapan.
Penulis ialah Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom
Kredit : Berita Harian