Faisal Halim jumpa trofi selepas ‘pusingan U’
KUALA LUMPUR: Penyerang Selangor, Faisal Halim hampir hilang dari radar arena bola sepak negara apabila pernah berhasrat untuk bersara awal selepas peristiwa hitam menjadi mangsa simbah asid pada Mei 2024.
Bagaimanapun hasratnya itu dibatalkan selepas mendapat sokongan daripada banyak pihak dan kini, semua orang menyaksikan kebangkitan luar biasa yang dijelmakan Faisal terutama selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada musim lalu.
Tindakan Faisal membuat ‘pusingan U’ daripada bersara juga berbaloi apabila dia meraih gelaran Penyerang Terbaik buat kali pertama dalam kariernya pada Anugerah Liga Malaysia (Liga M) atau Liga M Awards 2025-2026 (LMA25-26), malam tadi.
Meskipun sudah dua tahun berlalu, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey mengakui masih tidak percaya kejadian pahit itu menimpanya sambil menegaskan dirinya sekarang ini belum sama dengan yang dahulu.
“Saya pun tidak sangka mampu beraksi lagi sebenarnya, sebab itu saya ingin bersara dalam bola sepak. Namun, doktor memberi kata-kata semangat bahawa saya mampu kembali dan Selangor FC berikan bantuan yang terbaik untuk saya kembali di atas padang.
“Begitu juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak putus-putus memberi inspirasi dan semangat untuk saya kembali. Akhir sekali keluarga saya dan rakyat Malaysia juga sentiasa berada di belakang.
“Apabila saya cedera dan pulih, itu adalah satu titik terendah dalam hidup saya. Walaupun hari ini saya menang anugerah Penyerang Terbaik, saya tidak rasa saya sampai pada tahap di mana saya dulu.
“Saya masih mencari rentak, masih bekerja keras untuk kembali menjadi pemain terbaik. Saya mungkin bukan Faisal Halim yang dulu. Anugerah ini membakar semangat saya selepas pulih kembali dalam arena bola sepak.
“Sudah tentu bukan mudah, hampir satu musim (2024-2025) saya tidak beraksi. Saya rasa musim lalu adalah musim untuk saya bermula mencari prestasi dengan dibantu rakan dan doa peminat.
“Saya tidak sangka dapat memberikan satu benda yang positif untuk pasukan dan diri saya. Musim lalu, saya bermain hampir semua perlawanan dan anugerah ini memberi saya satu semangat baru untuk musim hadapan,” katanya.
Faisal melakar detik istimewa apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, sekali gus meraih trofi individu pertamanya selepas empat kali tercalon sejak edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023.
Ketajaman pemain berusia 28 tahun itu pada musim lalu terserlah menerusi 17 gol yang berjaya dihasilkan secara keseluruhan sekali gus mempamerkan kebangkitan yang cukup bermakna buat dirinya.
Kredit : Berita Harian