Saya Tak Sokong Guna AI Untuk Hasilkan Lagu, Ramai Belum Diberi Peluang Serlahkan Bakat’ – Daiyan Trisha
Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mengakui tidak bersetuju dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan sesebuah lagu.
Daiyan Trisha tak setuju hasilkan lagu guna AI

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, sebaliknya berkata, dia lebih percaya kepada kepakaran manusia dalam menghasilkan sesebuah karya. Jelasnya lagi, penulisan seharusnya lahir daripada hati dan pengalaman manusia itu sendiri.
Saya pantang sedikit kalau orang guna AI untuk tulis lirik, puisi atau apa-apa karya seni. Penulisan itu sepatutnya datang daripada hati.
Penghasilan sebuah lagu ni memerlukan satu rasa, emosi, penghasilan seni yang tidak akan boleh ditiru ataupun dihasilkan oleh AI iaitu robot because they have no heart.
Saya memang tak akan sokong sesiapa guna AI untuk hasilkan lagu.
Daiyan berkata demikian ketika ditemui di tayangan episod akhir drama Anom Suraya yang berlangsung di Aida’s Loft, TTDI pada Selasa.
Pelantun lagu Kerana Kau itu berkata, masih ramai bakat tempatan yang belum mendapat peluang untuk menyerlah dan wajar diberikan ruang dalam industri muzik.
Kita ada banyak artis, penyanyi, penulis lagu, komposer yang sangat berbakat dekat Malaysia ni. Daripada kita guna AI tu, baik lagi kita cari pengarang yang baru, kita bagi peluang dekat diorang.
Sebab secara peribadi, saya rasa masih ramai lagi di luar sana yang masih tidak diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat mereka.
Jadi daripada guna AI, baiklah kita bagi platform kepada mereka yang sangat berbakat ni.
Sementara itu, Daiyan turut memberi penjelasan susulan hantaran komposer, Ezra Kong, yang berkongsi mengenai penggunaan AI bagi menyemak kesalahan tatabahasa dalam lirik lagu Jangan Lupa Jaga Dirimu.
Ada satu perkataan atau frasa yang Ezra persoalkan dari segi tatabahasa. Kemudian dia bertanya kepada AI untuk buat semakan.
Daripada situ, kami berbincang bahawa sebenarnya tidak perlu menggunakan AI untuk menyemak perkara sebegitu kerana ibu saya mempunyai latar belakang dalam bidang kesusasteraan.
Sementara itu, mengulas mengenai single Jangan Lupa Jaga Dirimu, Daiyan berkata lagu itu merupakan hasil nukilannya bersama komposer Ezra Kong.
Kredit : Oh bulan