Malaysia tamat penantian 36 tahun emas regu berpasukan Sukan Asia
1 min read

Malaysia tamat penantian 36 tahun emas regu berpasukan Sukan Asia

NAGOYA: Skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.

Kejayaan di Nagoya City Mizuho Arena itu menyaksikan Harimau Emas mengulangi pencapaian pada Sukan Asia Beijing 1990, iaitu kali terakhir Malaysia memenangi emas acara berkenaan selepas menewaskan Thailand di final.

Malaysia bermula garang apabila trio emas, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias menewaskan gandingan Thailand, Marukin Phanmakon, Putawan Sopa dan Pornthep Tingbangbon 15-9, 5-15, 15-11 untuk menghadiahkan mata pertama.

Regu kedua negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali kemudian memastikan kemenangan selepas menundukkan regu Thailand, Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10 dalam aksi straight set.

Ini kali kedua berturut-turut Malaysia menewaskan Thailand dalam final regu berpasukan bagi temasya sukan selepas Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu.

Emas dimenangi skuad sepak takraw negara itu menjadi emas keempat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia kali ini.

Kredit : Berita Harian