JDT rehat tidak sampai 24 jam
1 min read

JDT rehat tidak sampai 24 jam

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran besar sebaik rehat antarabangsa berakhir awal bulan depan.

Ia susulan jadual padat terpaksa dihadapi skuad kendalian Xisco Munoz yang mana mereka akan berehat tidak sampai 24 jam selepas aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) berdepan PKR Svay Rieng FC.

Harimau Selatan akan menentang kelab Kemboja itu di Stadium Sultan Ibrahim pada jam 8 malam, 8 Oktober depan dan kemudian perlu melayan kunjungan Penang FC di gelanggang sama pada jam 5 petang, 9 Oktober.

Jadual dua perlawanan penting itu turut dikongsikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT di laman Instagram.

Aksi berdepan Penang membabitkan perlawanan suku akhir kedua Piala FA dengan anak buah Munoz memiliki bekalan selesa selepas melakar kemenangan 7-2 pada aksi pertama.

Munoz sebelum ini dilaporkan mengakui jadual padat sedikit sebanyak menguji fizikal pemainnya, namun beliau berpuas hati dengan komitmen penuh pasukan ketika membelasah Penang dalam aksi suku akhir pertama, Ahad lalu.

Beberapa tonggak JDT turut terbabit dengan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang akan berakhir pada 5 Oktober ini sekiranya Harimau Malaya melangkah ke final atau mengharungi aksi penentuan tempat ketiga.

Antara pemain Harimau Selatan yang kini bersama Harimau Malaya termasuk mesin gol mereka, Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Brad Tapp dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Situasi itu pasti memaksa Munoz membuat perancangan terbaik termasuk melakukan penggiliran pemain bagi memastikan skuad mantap dapat diturunkan untuk aksi berdepan PKR Svay Rieng dan Penang.

Kredit : Berita Harian