Kalau dah tak suka, bagi jawapan apa pun tak suka – Ajai
KUALA LUMPUR: Komposer dan penerbit, Ajai, tidak berkecil hati dengan kritikan ramai terhadap lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang didakwa tidak mampu menandingi impak versi asal.
Ajai berkata, penerimaan terhadap karya baharu yang dinyanyikan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno bergantung kepada cita rasa pendengar manakala kritikan dianggap sebahagian daripada dunia hiburan.
“Pada saya, itulah hiburan. Dalam perkataan hiburan itu terbahagi kepada hiburan yang mendengar, hiburan yang suka dan hiburan yang tidak suka.
“Hiburan yang tidak suka ini pun hiburan juga kerana mereka terhibur dengan benda yang mereka tidak suka,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu dan muzik video Cinta Di Akhir Garisan 2.0, di sini, hari ini.
Ajai yang juga komposer lagu berkenaan berkata, dia tidak terganggu dengan pandangan sesetengah pihak yang menganggap versi baharu itu tidak menjadi.
Tambahnya, pendengar masih belum melihat sepenuhnya kemampuan Marsha, Adira, Nadeera dan Aisha terutama dalam aspek persembahan secara langsung.
“Saya tidak terasa hati sebab mereka belum nampak lagi mereka menyanyi secara langsung.
“Apabila mereka nampak visual mereka menyanyi ‘live’, barulah mereka tahu bagaimana bahagian itu dinyanyikan,” katanya.
Mengulas perbandingan antara versi asal dan baharu, Ajai berkata, pendekatan vokal kedua-dua generasi berbeza dan dia tidak mahu mengekalkan acuan terdahulu untuk karya terbaharu itu.
“Kalau kita mengharapkan mereka menyanyi mengikut cara lama dan cuba pula penyanyi lama menyanyi dengan cara baharu, mungkin mereka juga akan kelihatan janggal.
“Saya tidak kekalkan apa yang ada pada versi pertama untuk dibawa kepada nombor dua.
“Bagi saya, versi pertama sudah yang terbaik. Jadi, sekarang saya mahu cipta yang terbaik untuk versi kedua,” katanya.
Ajai berkata, empat penyanyi terbabit hadir dengan gaya dan kemahiran vokal tersendiri termasuk penggunaan ‘runs’ serta vokal semula jadi.
Menurutnya, pendengar memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan pendekatan vokal dan bunyi baharu yang dibawa penyanyi generasi masa kini.
“Generasi sekarang membesar dengan pelbagai bunyi dan mereka datang dengan ‘runs’ serta vokal semula jadi.
“Saya fikir semakin lama, mereka akan semakin serasi dengan bunyi baharu,” katanya.
Ajai berkata, penghasilan Cinta Di Akhir Garisan 2.0 bukan bertujuan membandingkan penyanyi baharu dengan asal, sebaliknya, mahu mengembangkan lagi populariti lagu berkenaan.
Malah, katanya, ada pendengar yang mengakui baru mengetahui kewujudan lagu asal selepas mendengar versi 2.0.
“Saya banyak membaca komen dan ada yang kata mereka baru tahu lagu ini. Jadi, sedikit sebanyak ia membantu populariti penyanyi lama dan baru.
“Daripada cebisan penyanyi lama dan baharu, semuanya mendapat manfaat secara sama rata,” katanya.
Ditanya mengenai komen yang mendakwa tona vokal penyanyi dalam versi baharu kedengaran hampir sama, Ajai berkata, penerimaan tetap bergantung kepada kecenderungan pendengar.
“Apabila orang sudah tidak suka, bagi apa pun, jawapannya tetap tidak suka juga,” katanya.
Kredit : Berita Harian