Tidak perlu terburu-buru buat PRN Perak, Pahang – Ahmad Zahid
1 min read

Tidak perlu terburu-buru buat PRN Perak, Pahang – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) tidak bercadang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak dan Pahang, meskipun mencatat kemenangan menerusi PRN sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sebarang keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri itu tertakluk kepada penilaian Menteri Besar.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO itu berkata, penilaian itu perlu dibuat kepemimpinan BN di peringkat negeri sebelum sebarang cadangan pembubaran DUN dipersembahkan kepada sultan.

“Kita baru sahaja selesai PRN Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri lain. Saya serahkan kepada Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat situasi dan mempersembahkan nasihat kepada Tuanku jika bersesuaian,” katanya.

https://www.youtube.com/channel/UCoV8oT-GyqYSJkxzuAKG3Jw

Beliau berkata kepada media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Brigedier Jeneral Samad Igom. Perbarisan itu membabitkan 269 pelatih PLKN.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan mencadangkan supaya DUN Perak dan Pahang dibubarkan bagi membuka laluan kepada pembentukan kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua negeri berkenaan.

Cadangan itu susulan kejayaan kerjasama BN-PN pada PRN Melaka, Sabtu lalu yang menyaksikan kedua-dua gabungan memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN.

Perak dan Pahang ketika ini ditadbir Menteri Besar daripada BN iaitu Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

BN sebelum ini mencatat kemenangan dalam tiga PRN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sekali gus membentuk kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan PN.

Kredit : Berita Harian