Hans, Miss Universe Malaysia 2020 umum pertunangan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan bekas Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James.
Hans mengumumkan pertunangan dengan Francisca melalui hantaran Instagram (IG), kira-kira sejam lalu.

Pada hantaran yang disertakan beberapa foto, Hans menulis kapsyen ringkas tetapi cukup bermakna bagi mengumumkan berita gembira itu.
“Dia beritahu, iya! Selamanya dengan insan kesayanganku. Selamanya denganmu, Kayan/Iban saya untuk menjadi isteri.
“Ini keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia cakap iya. Dia kini milik saya…. Tidak ada lagi, Hans bila nak kahwin?”
Hantaran itu pantas dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang berkongsi kegembiraan atas perkembangan baharu dalam kehidupan peribadinya pelakon itu.
Meninjau beberapa foto yang dikongsi, lamaran Hans dipercayai dibuat di Paris, Perancis, dengan menjadikan Menara Eiffel sebagai latar istimewa detik penuh romantis itu.
Semalam, Harian Metro melaporkan Hans memberi bayangan bakal membuat pengumuman besar menerusi siaran langsung di IG pada jam 12 tengah hari, hari ini.
Hans dilapor berkata, beliau berharap berita yang bakal dikongsi diterima dengan gembira, selain menyatakan tidak akan membuat sidang media khas.
“Bersabar, ada satu pengumuman sangat besar akan saya buat di IG ‘live’ saya pada Isnin, 16 November, jam 12 tengah hari. Saya harap semua orang akan gembira untuk saya.
“Saya tidak akan buat apa-apa sidang media, sebaliknya hanya membuat satu hantaran di media sosial,” katanya.
Kredit : Berita Harian