Dr Fie nafi dibelenggu hutang
KUALA LUMPUR: Menafikan dirinya dibelenggu hutang, pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfeq atau Dr Fie mendakwa mampu menjana pendapatan lumayan hasil kerjaya dalam bidang perniagaan dan penciptaan kandungan digital.
Dr Fie, 36, berkata kedudukan kewangan kukuh yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha sendiri menerusi beberapa cabang kerjaya termasuk sebagai doktor gigi, pengusaha klinik pergigian, pempengaruh media sosial dan duta produk.
Pendedahan itu dibuat ketika menjawab pertanyaan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dalam episod Paparazzi Podcast yang turut menampilkan suaminya, Amarul Nizar Anuar atau Kapten Amrul.
Menurut Dr Fie, pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan ketika bertugas sebagai doktor kerajaan tidak mencukupi untuk membolehkannya memiliki aset bernilai tinggi seperti rumah.
Bagaimanapun, sumber pendapatan tambahan menerusi perniagaan dan kerjaya sebagai pencipta kandungan membolehkannya menikmati pendapatan lebih lumayan.
“Kalau saya gaji doktor RM4,000 lebih, memang tak lepas pinjaman rumah. Mestilah kalau berniaga, pendapatan lebih tinggi daripada gaji doktor.
“Secara kasarnya lima angka,” katanya sebelum dicelah Amrul yang mendedahkan pendapatan isterinya boleh mencecah lima hingga enam angka.
Dr Fie bagaimanapun berseloroh enggan mendedahkan jumlah sebenar pendapatan kerana tidak mahu perkara itu menjadi perhatian umum.
Malah, katanya, dia sendiri tidak mengetahui angka tepat pendapatan kerana menyerahkan urusan kewangan kepada akauntan yang dilantik.
Amrul turut menafikan dakwaan isterinya mempunyai masalah kewangan atau rekod hutang yang buruk, malah mendedahkan pernah membuat semakan latar belakang kewangan Dr Fie menerusi sistem CTOS sebelum mereka berkahwin.
“Dia mana ada hutang. Hutang dia cuma hutang kereta dan rumah… Iitu perkara biasa.
“Bukan hutang yang dalam rekod CTOS tulis ‘poor’, dia masih dalam keadaan ‘fair’ ke atas,” katanya.
Sementara itu, Dr Fie berkata, dia sudah membina kehidupan dan kedudukan kewangan sendiri selepas berpisah daripada perkahwinan terdahulu, termasuk memiliki rumah serta kereta sebelum bertemu jodoh dengan Amrul.
“Alhamdulillah, selepas saya berpisah, saya mula semula. Saya beli rumah, saya beli kereta dan saya sudah ada semua benda yang saya rasa saya nak. Sebenarnya saya boleh sahaja hidup bersendirian.
“Jadi, apabila berkahwin semula, bukan sebab harta sangat pun. Saya lebih perlukan kasih sayang dan persefahaman,” katanya yang berpisah dengan bekas suami, penyanyi, Nubhan, akhir tahun lalu.
Dr Fie dan Amrul sah bergelar suami isteri pada 1 November lalu pada majlis pernikahan di Seremban, Negeri Sembilan.
Kredit : Berita Harian