Ratu Rock negara, Ella menegaskan tidak berasa tertekan meskipun wujud perbandingan antara konsertnya dengan artis lain sebelum ini.
Tak tertekan
Ketika ditemui OhBulan!, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 59, berkata dia sebaliknya hanya mahu memberikan tumpuan penuh dengan melakukan yang terbaik buat peminatnya pada konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella bakal berlangsung pada 14 Februari di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Saya tiada tekanan sebenarnya. Perkara ini sebenarnya lebih memberi semangat untuk saya terus melangkah ke hadapan.
Saya ambil semua itu secara positif dan rasa lebih teruja serta bersemangat.
Kawan-kawan juga banyak memberi dorongan. Insya-Allah. Tapi, seperti yang kita semua sedia maklum, netizen memang suka memberikan pelbagai komen.
Saya rasa biarlah, kerana mereka sendiri mampu menilai. Komen-komen itu pun tidak akan berterusan sampai bila-bila. Apa yang baik kita ambil sebagai pengajaran, yang tidak baik kita ketepikan.
Ella berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Ella dan pengumuman artis jemputan untuk konsert berkenaan di Cili Kampung, Sunway Pyramid, pagi ini.
Tambahnya lagi, dia juga memilih untuk tidak memberi sebarang respon terhadap kritikan dan perbandingan yang dilontarkan oleh netizen.
Setakat ini, saya tiada sebarang respons. Kalau sesuatu itu tidak memberi semangat atau manfaat, lebih baik kita biarkan sahaja.
Tekanan yang saya rasakan pula hanyalah untuk memastikan persiapan benar-benar rapi.
Itulah tekanan saya, untuk bersedia sepenuhnya dan menjayakan misi ini, seterusnya mencipta satu sejarah, insya-Allah.
Berjalan dengan baik

Berkongsi mengenai persiapan, Ella berkata setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Bagaimanapun beberapa aspek yang sedang diperhalusi bagi memastikan persembahan terbaik dapat disajikan.
Setakat ini, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.
Persiapan saya juga sudah hampir lengkap. Sudah tentu masih ada beberapa perkara kecil yang perlu diperhalusi, tetapi setakat ini semuanya baik.
Difahamkan, konsert itu bakal diserikan dengan kehadiran barisan artis jemputan popular, antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys), yang dijangka bergandingan bagi menjayakan persembahan istimewa kepada penonton.
Sekadar makluman, sejak tiket mula dijual pada 8 Disember lalu, konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu telah mencatatkan jualan memberangsangkan dengan 90 peratus tiket habis terjual.
Kredit : Oh bulan
