PADA detik penting dalam sejarah manusia, dunia berhimpun pada Sidang Kemuncak Impak Kecerdasan Buatan (AI) 2026 di New Delhi. Bagi kami di India, ia saat penuh kebanggaan dan kegembiraan mengalu-alukan ketua negara, kerajaan, delegasi dan pencipta inovasi dari seluruh dunia.
India membawa skala dan tenaga dalam setiap usaha dilakukannya dan sidang kemuncak ini tidak terkecuali. Wakil dari lebih 100 negara hadir bersama.
Pencipta inovasi mempamerkan produk dan perkhidmatan AI terkini. Ribuan anak muda memenuhi dewan pameran, mengemukakan soalan dan membayangkan pelbagai kemungkinan.
Rasa ingin tahu mereka menjadikan ini sidang kemuncak AI terbesar dan paling demokratik di dunia. Ia detik penting dalam perjalanan pembangunan India, kerana gerakan massa untuk inovasi dan penerima gunaan AI benar-benar bermula.
Sejarah manusia menyaksikan banyak perubahan teknologi mengubah haluan tamadun. AI berada dalam kelompok sama seperti api, tulisan, elektrik dan internet.
Namun dengan AI, perubahan yang dahulu mengambil masa puluhan tahun kini boleh berlaku dalam beberapa minggu dan memberi kesan kepada seluruh planet.
AI menjadikan mesin lebih pintar, tetapi lebih penting ia pengganda kuasa kepada niat dan potensi manusia. Menjadikan AI berteraskan manusia dan bukannya berpusatkan mesin adalah amat penting.
Kami meletakkan kesejahteraan manusia sebagai teras perbincangan global mengenai AI pada sidang kemuncak ini, berlandaskan prinsip ‘Sarvajana Hitaya, Sarvajana Sukhaya’ (Kesejahteraan untuk Semua, Kebahagiaan untuk Semua).
Teknologi mesti berkhidmat kepada manusia, bukan sebaliknya. Sama ada pembayaran digital melalui Pembayaran Antara Muka Bersepadu (UPI) mahupun vaksinasi COVID-19, kami memastikan infrastruktur awam digital sampai kepada semua tanpa ada yang tercicir.
Semangat sama jelas kelihatan pada sidang kemuncak ini, menerusi usaha pencipta inovasi kami dalam bidang pertanian, keselamatan, bantuan kepada golongan ‘Divyangjan’ (Golongan berkeperluan khas) dan pembangunan alat untuk masyarakat.
Terdapat banyak contoh potensi pemerkasaan AI di India. Baru-baru ini, ‘Sarlaben’, pembantu digital berkuasa AI dilancarkan koperasi tenusu India AMUL, memberikan panduan masa nyata kepada 3.6 juta penternak tenusu kebanyakannya wanita mengenai kesihatan dan produktiviti ternakan dalam bahasa mereka sendiri.
Begitu juga platform berasaskan AI iaitu Bharat VISTAAR menyediakan input pelbagai bahasa kepada petani, memperkasakan mereka dengan maklumat daripada ramalan cuaca hingga harga pasaran.
Manusia tidak boleh sekali-kali menjadi sekadar titik data atau bahan mentah untuk mesin. Sebaliknya, AI mesti menjadi alat untuk kebaikan sejagat, membuka peluang kemajuan baharu untuk Global Selatan.
Rangka kerja MANAV
Bagi menterjemahkan visi ini kepada tindakan, India memperkenalkan rangka kerja MANAV bagi tadbir urus AI berteraskan manusia iaitu:
● M – Moral dan sistem etika: AI mesti berasaskan garis panduan etika.
● A – Tadbir urus bertanggungjawab: Peraturan telus dan pengawasan kukuh.
● N – Kedaulatan nasional: Menghormati hak negara terhadap data.
● A – Mampu dicapai dan inklusif: AI tidak boleh menjadi monopoli.
● V – Sahih dan diperakui: AI mesti mematuhi undang-undang dan boleh disahkan.
MANAV, bermaksud ‘manusia’, menawarkan prinsip menambat AI kepada nilai kemanusiaan abad ke-21. Kepercayaan adalah asas masa depan AI.
Ketika sistem penjanaan membanjiri dunia dengan kandungan, masyarakat berdepan risiko deepfake dan maklumat palsu.
Seperti makanan mempunyai label nutrisi, kandungan digital juga perlu mempunyai label ketulenan. Komuniti global diseru untuk bekerjasama mewujudkan piawaian bersama bagi tera air (watermarking) dan pengesahan sumber.
India mengambil langkah ke arah ini dengan mewajibkan pelabelan jelas bagi kandungan dijana secara sintetik.
Kebajikan anak-anak kita amat dekat di hati. Sistem AI mesti dibangunkan dengan perlindungan menggalakkan penggunaan bertanggungjawab dengan bimbingan keluarga, selaras dengan perhatian kita berikan kepada sistem pendidikan di seluruh dunia.
Teknologi memberi manfaat terbesar apabila dikongsi, bukan dijaga sebagai aset strategik semata-mata. Platform terbuka boleh membantu jutaan belia menyumbang ke arah menjadikan teknologi lebih selamat dan berteraskan manusia.
Kecerdasan kolektif ini adalah kekuatan terbesar manusia. AI mesti berkembang sebagai kebaikan awam global.
Kita sedang memasuki era di mana manusia dan sistem pintar akan bersama-sama mencipta, bekerja dan berkembang. Profesion baharu akan muncul sepenuhnya.
Ketika internet bermula, tiada siapa dapat membayangkan segala kemungkinannya. Ia akhirnya mewujudkan peluang baharu dalam jumlah besar, dan AI juga akan melakukan perkara sama.
Belia yang diperkasa akan menjadi pemacu sebenar era AI. Kami menggalakkan peningkatan kemahiran, kemahiran semula dan pembelajaran sepanjang hayat melalui antara program pembangunan kemahiran terbesar dan pelbagai di dunia.
India antara negara dengan populasi belia dan bakat teknologi terbesar di dunia. Dengan kapasiti tenaga dan kejelasan dasar yang dimiliki, kami berada pada kedudukan unik untuk memanfaatkan potensi penuh AI.
Pada sidang kemuncak ini, bangga melihat syarikat India melancarkan model dan aplikasi AI tempatan, mencerminkan keupayaan teknologi komuniti inovasi muda kami.
Bagi memacu pertumbuhan ekosistem AI, kami membina asas infrastruktur kukuh. Di bawah Misi India AI, ribuan Unit Pemprosesan Grafik (GPU) digunakan dan lebih banyak akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Apabila akses kepada kuasa pengkomputeran bertaraf dunia pada kadar berpatutan, syarikat pemula kecil mampu menjadi pemain global.
Selain itu, kami menubuhkan Repositori AI Kebangsaan, mendemokrasikan akses kepada set data dan model AI. Daripada semikonduktor dan infrastruktur data kepada pemula yang dinamik dan penyelidikan gunaan, kami memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian nilai.
Kepelbagaian, demokrasi dan dinamisme demografi India menyediakan atmosfera tepat untuk inovasi inklusif. Penyelesaian berjaya di India boleh berkhidmat untuk seluruh manusia.
Justeru, jemputan kami kepada dunia adalah reka dan bangunkan di India. Sampaikan kepada dunia dan manusia sejagat.
Penulis adalah Perdana Menteri India
Kredit : Berita Harian
