Anwar hadiri APEC di China, perkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan dua hala
4 mins read

Anwar hadiri APEC di China, perkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan dua hala

SHENZHEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama tiga hari bermula Rabu ini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33.

Lawatan strategik ini yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertujuan mengukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia di rantau Asia-Pasifik dalam mendepani lanskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin dinamik.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, berkata lawatan kali ke enam dihadiri Perdana Menteri ke China sepanjang pemerintahan beliau itu melambangkan keakraban hubungan antara pemimpin kedua-dua negara.

“Malaysia satu daripada 12 negara pengasas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 1989 dan kita pernah menjadi tuan rumah APEC dua kali iaitu APEC ke-10 pada 1998 serta ke-27 pada 2020.

“Sebagai tuan rumah pada 2020, kita menerajui penghasilan Visi Putrajaya APEC 2040 yang menggariskan inspirasi ke arah komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.

“Dari sini, kita boleh andaikan bahawa tema APEC pada kali ini juga, boleh dikatakan kesinambungan kepada Visi Putrajaya APEC 2040,” katanya.

Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada awal pagi Rabu ini dan akan disambut Duta Besar Malaysia ke China serta wakil daripada kerajaan tempatan serta Kementerian Luar China.

Pada siang harinya, Perdana Menteri akan menyampaikan wacana bertajuk ‘Rethinking Openness, Building Shared Prosperity in the Asia Pacific’ pada Sidang Kemuncak CEO APEC di Qinhai International Conference Centre.

Persidangan itu akan dirasmikan President China, Xi Jinping.

Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China (Malaysia-China High-Level Trade and Investment Dialogue) anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), serta menyaksikan tiga pertukaran perjanjian perniagaan penting termasuk yang disertai Yinson Holdings Bhd.

Beliau juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari Hong Kong, John Lee Ka-chiu dan Perdana Menteri Christopher Luxon dari New Zealand.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan dan Persembahan Kebudayaan AELM (Welcome Banquet and Gala Performance) yang dihos oleh Jinping dan isteri, Peng Liyuan di Dewan Xingmi, Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (Shenzhen International Communication Centre, SICC).

Seterusnya pada Khamis ini, beliau akan menyampaikan kenyataan negara di AELM ke-33 yang membawa tema ‘Building an Asia Pacific Community to Prosper Together’.

Di sela-sela AELM ke-33, Perdana Menteri akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat ekonomi APEC bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

Beralih kepada hubungan dua hala, kemuncak lawatan adalah pertemuan rasmi bersama Jinping di Rumah Tetamu Negara Qilin Villa di Shenzhen pada Jumaat ini.

Perbincangan aras tinggi ini dijangka menumpukan kepada peluasan pelaburan, projek dua hala dan pemindahan teknologi tinggi bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk beralih ke arah negara berpendapatan tinggi.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, projek East Coast Rail Link (ECRL), projek ‘Dua Negara, Taman Berkembar’, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pelancongan dan kerjasama pelabuhan, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa.

Penyertaan dalam APEC kekal kritikal bagi Malaysia memandangkan rantau ini menyumbang hampir 80 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara, dengan nilai dagangan RM2.43 trilion direkodkan pada 2025.

Sebagai perintis kepada Visi Putrajaya APEC 2040, Malaysia komited menyokong penghasilan lima dokumen utama pada sidang kali ini.

Ini termasuk deklarasi pemimpin dan rangka kerjasama baharu yang memfokuskan kepada kesalinghubungan, ekonomi digital, AI dan pendigitalan perdagangan bagi memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan lebih stabil.

Negara APEC adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan mencecah RM2.43 trillion. Eksport Malaysia ke negara APEC menyumbang 79.7 peratus jumlah eksport negara, manakala import menyumbang 79.5 peratus jumlah import negara.

Sejak 2006, Malaysia menerima manfaat daripada 116 projek yang dibiayai APEC dengan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak AS$12.8 juta. Dalam tempoh sama, sebanyak 405,000 perjalanan menggunakan Kad Perjalanan Perniagaan APEC direkodkan, termasuk 20,221 perjalanan membabitkan rakyat Malaysia.

Dari sudut pelaburan dan perdagangan, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara.

Pada 2025, perdagangan dua hala Malaysia-China meningkat 11.8 peratus kepada RM541.54 bilion, merangkumi RM188.89 bilion eksport dan RM352.66 bilion import.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah dagangan dua hala mencecah RM529.37 bilion, merangkumi eksport bernilai RM168.96 billion dan import bernilai RM360.41 bilion.

China adalah pelabur kedua terbesar Malaysia sejak 2025, merekodkan 193 projek pembuatan bernilai RM27.6 bilion, yang dijangka mewujudkan 18,867 peluang pekerjaan.

Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 70 projek pembuatan bernilai RM5.37 bilion dari China diluluskan dan sejak 1980, RM162.29 bilion projek pelaburan dari China diluluskan.

Kredit : Berita Harian