Genting Highlands, 13 Disember 2022 – Lazada Malaysia dan Resorts World Genting (RWG) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Crockfords Hotel, Resorts World Genting demi memeterai kerjasama jangka panjang sebagai ‘Rakan eDagang Teras’.

Kolaborasi tersebut merupakan usaha strategik bersama bagi membawakan pengalaman percutian, hiburan dan membeli-belah yang mengujakan di destinasi yang unik seperti Genting Highland ke platform dalam talian Lazada, iaitu peneraju eDagang di rantau Asia Tenggara. Usaha tersebut pastinya mampu merangsang pertumbuhan dan memacu pemulihan industri pelancongan domestik di Malaysia.

RWG akan menawarkan pakej eksklusif dan tawaran pada harga yang berpatutan in Lazada, dan ianya boleh didapati dengan mudah menerusi capaian meluas yang dimungkinkan oleh platform eDagang. Para pelanggan di Lazada boleh mendapatkan tiket taman tema dan pakej penginapan hotel, serta e-produk atau e-servis secara digital (digital goods) pada harga istimewa, seperti tiket konsert dan persembahan oleh artis tempatan dan antarabangsa, di samping baucar makanan dan minuman. Dengan termeterainya MoU tersebut, Lazada turut mengenalpasti RWG sebagai destinasi pilihan untuk acara korporat dan aktiviti team building.

“Kami amat berbesar hati menjadi Rakan eDagang Teras bagi Resorts World Genting dan dapat bekerjasama untuk mengkonsepsikan tawaran berbeza dan lain dari yang lain, termasuklah pengalaman mengujakan 360 darjah untuk dinikmati oleh pelbagai segmen pengguna. Kolaborasi di antara Lazada dan RWG telah bermula sejak Mac 2022 dan pihak kami amat komited untuk membentuk kerjasama jangka panjang ke arah membina semula industri pelancongan domestik,” kata Rick Ting, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pertumbuhan Pengguna dan Trafik, Lazada Malaysia.

Spencer Lee, Naib Presiden Kanan, Jualan dan Pemasaran, Resorts World Genting pula berkata, “Kami amat berbangga dan teruja dapat bekerjasama dengan perintis sektor eDagang seperti Lazada. Kolaborasi ini merupakan pemangkin yang bakal membolehkan pihak kami untuk menjadikan Resorts World Genting lebih dekat dengan para pelanggan, malah memudahkan mereka untuk merancang percutian, libur hujung minggu dan aktiviti riang-ria bersama rakan-rakan dan keluarga mereka dengan penuh nyaman di atas awan, di lokasi terintegrasi yang bertaraf antarangbangsa seperti RWG.”

Sempena Jualan Sepuas Hati 12.12 Lazada, kedai rasmi dalam talian Resorts World Genting di LazMall menawarkan pelbagai tawaran eksklusif pada harga istimewa, seperti pakej penginapan hotel yang merangkumi semua keperluan, tiket taman tema, tiket Awana Skyway dan banyak lagi.

 

Kredit : Siakap Keli

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *