Ramai Gen Z Tak Lagi Suka “Solo Travel”, Rupanya Ini Pilihan Mereka
Percutian secara solo pernah menjadi trend popular dalam kalangan anak muda, terutama bagi mereka yang mahu mencari pengalaman baharu dan kebebasan meneroka destinasi sendiri.
Namun kini, gaya pelancongan itu dilihat semakin berubah apabila semakin ramai Gen Z di Malaysia memilih untuk melancong bersama orang lain berbanding bersendirian.
Menurut Agoda’s 2026 Travel Outlook Report, trend percutian di Malaysia semakin berubah.

Hanya Satu Daripada 10 Pilih “Solo Travel”
Jika sebelum ini solo travel sering dianggap sebagai simbol kebebasan, trend terkini menunjukkan pendekatan yang berbeza dalam kalangan Gen Z Malaysia.
Data laporan menunjukkan bahawa hanya 10 peratus yang merancang percutian secara solo, manakala kebanyakan lain lebih cenderung melancong secara berkumpulan.
Trend ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman melancong kini lebih tertumpu kepada perkongsian kenangan bersama orang tersayang berbanding pengembaraan secara bersendirian.
Percutian Bersama Keluarga & Pasangan Jadi Pilihan Utama
Antara dapatan paling menarik ialah kecenderungan tinggi Gen Z Malaysia untuk melancong bersama keluarga dan pasangan.

Sebanyak 41 peratus Gen Z merancang untuk bercuti bersama keluarga, manakala 38 peratus lagi memilih untuk melancong bersama pasangan, menjadikan kedua-dua kategori ini pilihan paling popular.
Situasi ini menunjukkan bahawa bagi generasi muda masa kini, percutian bukan sekadar tentang destinasi, tetapi juga tentang masa berkualiti bersama insan tersayang.
Ramai Pilih Travel Dalam Negara
Selain perubahan pada gaya percutian, Gen Z Malaysia juga dilihat semakin gemar melancong dalam negara.

Lebih separuh responden, iaitu sekitar 52 peratus menjangkakan kebanyakan percutian mereka adalah dalam negara, manakala 41 peratus pula merancang gabungan percutian dalam dan luar negara secara seimbang.
Dapatan ini menunjukkan bahawa destinasi tempatan masih menjadi pilihan utama berikutan lebih mudah diakses.
Gen Z Kini Lebih Kerap Melancong
Menariknya, pelancongan dalam kalangan Gen Z bukan lagi sekadar aktiviti tahunan

Sebanyak 38 peratus responden merancang untuk melakukan antara empat hingga enam percutian sepanjang tahun 2026, menunjukkan bahawa aktiviti melancong kini menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan mereka.
Perubahan ini mencerminkan satu generasi yang mahu menikmati pengalaman baharu secara lebih kerap, bukan hanya menunggu cuti panjang.
Hotel Masih Popular, Tapi Apartmen Makin Diminati
Dari segi penginapan pula, hotel masih menjadi pilihan utama dalam kalangan Gen Z Malaysia.

Data menunjukkan 48 peratus memilih hotel sebagai tempat penginapan, manakala hampir 31 peratus lebih gemar memilih rumah atau apartmen, menandakan keterbukaan terhadap pelbagai jenis penginapan mengikut keperluan percutian.
Trend ini mencerminkan gaya pelancongan yang lebih fleksibel dan praktikal mengikut kumpulan percutian mereka.
Tujuan Utama Melancong Rupanya Nak Rehat
Selain pilihan destinasi dan penginapan, sebab utama Gen Z melancong juga memberi gambaran jelas tentang gaya hidup mereka.

Sebanyak 76 peratus responden menyatakan ingin bersantai sebagai sebab utama untuk melancong, diikuti penerokaan budaya sebanyak 34 peratus, pengalaman kulinari dengan 31 peratus dan aktiviti luar berjumlah 28 peratus.
Pendedahan tersebut menunjukkan bahawa pelancongan bagi generasi ini bukan sekadar untuk bergambar atau mengikut trend, tetapi lebih kepada mencari ketenangan dan pengalaman bermakna.
“Solo Travel” Masih Ada, Tapi Bukan Lagi Pilihan Utama
Secara keseluruhannya, dapatan daripada laporan tersebut menunjukkan bahawa minat terhadap percutian secara solo dalam kalangan Gen Z Malaysia semakin berkurangan.

Sebaliknya, percutian berkumpulan bersama keluarga atau pasangan kini menjadi pilihan utama kerana dianggap lebih menyeronokkan dan bermakna.
Trend ini jelas menunjukkan bahawa bagi Gen Z di Malaysia melancong bukan lagi sekadar tentang pergi jauh seorang diri, tetapi tentang berkongsi pengalaman bersama insan yang penting dalam hidup mereka.
Kredit : Siakap Keli
