Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara bagi tahun 2025 apabila mencatatkan kehadiran 38 juta pelancong asing setakat November lalu.
Kalahkan Thailand

Pencapaian itu sekali gus meletakkan negara di hadapan Thailand yang hanya merekodkan sekitar 33 juta ketibaan pelancong sepanjang tempoh sama, menurut laporan Bloomberg, susulan pemulihan sektor pelancongan negara tersebut yang bergerak lebih perlahan daripada jangkaan.
Data Tourism Malaysia menunjukkan peningkatan ketibaan pelancong ini menjadi petanda jelas pemulihan kukuh industri pelancongan tempatan, selain memperlihatkan pertumbuhan konsisten berbanding tahun sebelumnya.
Kemasukan pelancong dari negara jiran serta pasaran utama antarabangsa menjadi antara faktor utama kejayaan itu, ditambah dengan kemudahan perjalanan dan penawaran produk pelancongan yang pelbagai, merangkumi bandar, alam semula jadi, makanan dan budaya.
Strategi pelancongan berada di landasan tepat

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keberkesanan strategi pelancongan yang dilaksanakan kerajaan.
Menurut beliau, angka kemasukan yang melepasi sasaran bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan yang ditawarkan Malaysia.
Tambahnya, pendekatan agresif kementerian dalam memudah cara perjalanan, memperluas jaringan penerbangan serta memperhebat promosi berfokus di pasaran utama seperti China, Singapura, Indonesia, Timur Tengah dan Asia Barat turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.
Beliau berkata, kejayaan ini menjadi asas penting dalam persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan penekanan terhadap pelancongan bernilai tinggi, mampan dan berkualiti.
Menurutnya lagi, kementerian tidak hanya mensasarkan pertambahan jumlah pelancong, malah mahu meningkatkan perbelanjaan pelancong serta mengekalkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di peringkat serantau dan global.
Sebelum ini, beberapa statistik tidak rasmi turut menunjukkan jumlah pengunjung ke Malaysia pada tahun lalu melebihi sasaran awal apabila mencatatkan kehadiran lebih 42 juta pelancong, sekali gus mengukuhkan lagi keyakinan terhadap pemulihan sektor pelancongan negara.
Kredit : Oh bulan
