KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir Terbuka Jepun selepas menundukkan pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu di Gimnasium Metropolitan Tokyo, hari ini.
Pasangan ranking ketiga dunia itu mempamerkan permainan kemas dan bertenaga sepanjang aksi pusingan kedua untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-16 dalam tempoh 36 minit.
Pada set pertama, Pearly-Thinaah bermula penuh yakin apabila berjaya mengawal gelanggang dengan baik yang memaksa lawan mereka di ranking ke-13 dunia itu melakukan banyak kesilapan mudah.
Memasuki set kedua, pasangan negara itu terus mengekalkan permainan yang kemas sekali pun cuba diasak Pei Shan-Eng Tzu yang cuba bangkit.
Kemenangan pastinya terus menyuntik semangat buat Pearly-Thinaah yang hadir ke kejohanan berstatus Super 750 itu dengan motivasi tinggi selepas baru sahaja mengumumkan lanjutan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebelum ke Jepun, Pearly-Thinaah mara ke pentas final Terbuka Indonesia pada bulan lalu namun terpaksa akur bergelar naib juara apabila tewas di tangan gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Dalam saingan suku akhir esok, Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo yang menewaskan gandingan Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun di pusingan kedua.
Kredit : Berita Harian
