KUALA LUMPUR: Meskipun dilabel sebagai pasukan pilihan, Indonesia tetap berwaspada dengan kebangkitan yang cuba dilakukan Malaysia menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam esok.
Perlawanan terakhir Kumpulan A kejohanan Piala ASEAN bawah 23 (B-23) tahun itu menjadi aksi hidup mati buat kedua-dua pasukan walaupun skuad Indonesia dilihat memiliki banyak kelebihan berbanding Malaysia.
Selain memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri, skuad Garuda Muda juga tampak berdepan tugas lebih mudah apabila hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan dan mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Skuad kendalian Gerald Vanenburg merekodkan kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal dengan mereka juga dianggap pasukan kebal apabila belum bolos selepas membelasah Brunei 8-0 dan menundukkan Filipina 1-0.
Keputusan itu cukup membuktikan mengapa Indonesia diberikan status sebagai pasukan pilihan pada kejohanan kali ini dan mereka juga dianggap sudah sebelah kaki berada di separuh akhir.
Vanenburg bagaimanapun menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan itu dan masih terlalu awal untuk mereka terus memikirkan mengenai perlawanan separuh akhir.
Pengendali dari Belanda itu menjelaskan, perkara paling penting ketika ini adalah menghadapi perlawanan menentang Malaysia yang mana Harimau Malaya B-23 juga mengimpikan untuk melakar kejutan dan merebut tiket ke separuh akhir.
“Paling utama kami harus menentang Malaysia. Saya tidak fikirkan mengenai cabaran selepas itu (separuh akhir). Kami ingin fokus dulu menentang Malaysia. Berdepan Malaysia perkara paling penting untuk saat ini buat pemain dan penyokong,” katanya seperti dilaporkan KOMPAS.com.
Indonesia ketika ini berada di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mana, tiga mata di depan Filipina dan Malaysia yang menghuni tangga kedua dan ketiga manakala Brunei di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Kredit : Berita Harian
