KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, Perdana Menteri berkata, RMK13 akan membawa natijah terbaik kepada rakyat serta meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.
“Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan.
“Diharapkan kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi,” katanya.

Perdana Menteri semalam menerima dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Penyerahan itu menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030. – FB Anwar Ibrahim
PM terima dokumen RMK13 semalam
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menerima penyerahan rasmi dokumen RMK13, menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Anwar berkata, RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus kepada pengangkatan martabat rakyat secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan.
“Penyediaannya membabitkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah.
“Ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.
“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK-13 di Dewan Rakyat esok (hari ini). Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan,” katanya.
Kredit : Berita Harian
