SUBANG: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpandangan setiap kemenangan yang diraih artis di Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, baru-baru ini, tidak perlu terus dipertikaikan.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata pemilihan pemenang dibuat berdasarkan penilaian profesional barisan juri mengikut kriteria tertentu, malah keputusan akhir juga bergantung kepada rezeki masing-masing.
“Kita jangan mempertikaikan mana-mana pihak. Bagi saya, setiap orang ada suara tersendiri, unik dan sudah ditentukan rezekinya.
“Setiap tahun juri berbeza dan mereka sudah sepakat memilih pemenang mengikut kriteria yang ditetapkan. Mana yang dicalonkan ke peringkat akhir pun sudah dianggap menang, cuma rezeki siapa yang dipilih juara bergantung kepada penilaian juri ketika itu,” katanya.
Siti ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa yang berlangsung di Grand Pickleball Arena, di sini, semalam.
Sebagai penyanyi yang sudah bertahun-tahun menyertai AIM, Siti berkata, dia memahami sistem penjurian yang dilaksanakan.
“Saya sudah melalui AIM berpuluh tahun dan faham cara penjurian.
“Memang tahun ini saya tak rasa saya akan menang kerana penilaian juri sentiasa berubah mengikut tahun. Saya percaya sesiapa yang menang memang selayaknya dan tidak perlu dipersoalkan,” katanya.
Siti turut menyentuh perubahan dalam penjurian kategori etnik kreatif yang kini memberi penekanan terhadap penggunaan dialek tempatan.
“Saya perhatikan kategori etnik kreatif sekarang lebih kepada nyanyian dialek, seperti lagu Bea Soba Bea. Akan datang kalau saya nak sertai kategori ini, saya akan pastikan ada dialek dalam lagu.
“Kalau kategori tradisional pula, mungkin juri mahu karya yang benar-benar asli tanpa muzik moden,” jelasnya.
Terdahulu, penyanyi Atilia Haron mencetuskan perhatian apabila memuat naik kenyataan di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan suara.
Hantaran itu kemudian dipadam, namun tetap dikaitkan netizen dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama AIM 24, baru-baru ini.
Kredit : Berita Harian