KUALA LUMPUR: Pelakon, Anna Jobling mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebaga pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada majlis Anugerah Drama Antarabangsa Seoul (SDA) 2025 yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, petang tadi.

Majlis penuh gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV, sekali gus menyaksikan pelakon kacukan Melayu-Inggeris berusia 24 tahun itu berdiri sebaris dengan bintang Asia lain yang turut menerima pengiktirafan di pentas global.

Kejayaan Anna membuktikan kemampuan bakat muda Malaysia menembusi pentas antarabangsa. Populariti dan mutu lakonannya dalam drama Hai Cinta, Dengarkanlah! bukan sahaja menambat hati penonton tempatan, malah turut menarik perhatian peminat antarabangsa.

“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada SDA kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.

“Kemenangan ini sangat bermakna bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk ibu bapa, keluarga, peminat dan pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya. Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” katanya ketika berucap di pentas SDA 2025.

Kejayaan itu juga membuka lembaran baharu buat Anna yang kini terus melangkah ke pentas antarabangsa selepas mencipta nama di tanah air menerusi drama popular seperti Melur Untuk Firdaus dan Terima Kasih Cinta.

Sebagai bintang muda yang sedang bersinar, Anna berazam menjadi inspirasi kepada generasi baharu pelakon Malaysia agar berani bermimpi besar dan menembusi sempadan global.

“Kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi simbol bahawa dunia seni lakonan Malaysia semakin mendapat tempat di mata dunia,” ujarnya.

Sempena kejayaan bersejarah itu, Tonton melancarkan kod promo eksklusif “ANNAJOBLING” yang menawarkan langganan tiga bulan pada harga istimewa RM20 bermula 25 September lalu.

Langganan istimewa itu membolehkan peminat menonton koleksi khas Koleksi Pujaan Hati termasuk drama Hai Cinta, Dengarkanlah!, selain Melur Untuk Firdaus, Terima Kasih Cinta dan Bella – Bila Cinta Bersatu.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *