
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengakui kesilapan sendiri menjadi punca kekalahan mereka di pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, hari ini.
Pasangan nombor dua dunia itu dikejutkan dengan kekalahan di tangan gandingan baharu Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat apabila tunduk 17-21, 13-21 dalam tempoh 33 minit di Arena Jyske Bank.
Kekalahan itu hadir hanya tiga hari selepas mereka beraksi di pentas final Terbuka Artik di Finland, yang menyaksikan mereka tewas sengit kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, 18-21, 27-25, 17-21 dalam pertarungan selama 76 minit.
Aaron berkata, deretan kesilapan tidak sepatutnya dan kegagalan melaksanakan strategi permainan dengan baik menjadi faktor utama kekalahan mereka.
“Hari ini kami buat banyak kesilapan sendiri dan pelan permainan kami langsung tidak menjadi. Itu yang menyebabkan kami tewas,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, Wooi Yik berkata mereka sudah memberikan segalanya namun gagal menemui rentak permainan terbaik di Odense.
“Kami masuk ke gelanggang dengan semangat mahu berikan yang terbaik, tetapi hari ini memang kami tidak bermain dengan baik,” katanya.
Aaron menegaskan mereka kini akan menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi Terbuka Perancis minggu depan.”Kami akan kembali dan buat persiapan rapi untuk minggu depan,” katanya.
Kredit : Berita Harian