
KUALA LUMPUR: Selepas Vietnam dilaporkan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kini Nepal difahamkan sudah mengemukakan aduan rasmi.
Perkara itu didedahkan media antarabangsa, The Guardian yang mengesahkan Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) turut mengikut jejak langkah Vietnam.
“Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) sudah memfailkan aduan terhadap Malaysia, selepas Hector Hevel salah seorang penjaring gol dalam kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal pada Mac diputuskan tidak layak oleh FIFA, bermakna keputusan itu boleh dibatalkan,” tulis The Guardian.
Dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim pada Mac lalu, skuad negara kendalian Peter Cklamovski menewaskan Nepal 2-0.
Dua gol pasukan negara diraih menerusi ledakan Hevel dan Corbin Ong untuk memungut tiga mata pertama.
Ketika itu, Hevel muncul pemain warisan terbaharu negara dan aksi dengan Nepal adalah penampilan sulungnya bersama pasukan.
Selepas itu, skuad negara mengumumkan kehadiran enam lagi tonggak warisan membabitkan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal Iraurgui yang membuat penampilan dalam jendela aksi antarabangsa pada Jun.
Kemuncaknya apabila ketujuh-tujuh tonggak berkenaan disenaraikan dalam aksi kedua kelayakan menentang Vietnam yang menyaksikan Malaysia menang 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun.
Selepas aksi berkenaan, dilaporkan Vietnam membuat aduan kepada FIFA menuntut siasatan dilakukan ke atas tujuh pemain terbabit sebelum badan induk dunia itu menjatuhkan hukuman di atas kesalahan memalsukan dokumen.
FAM dikenakan denda selain tujuh pemain terbabit dikenakan penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak bermula tarikh yang dimaklumkan.
Jika semua langkah undang-undang diambil masih gagal termasuk hingga ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) gagal mencabar keputusan FIFA, seperti sedia maklum, pembatalan kemenangan serta penolakan mata berpotensi dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada skuad negara.
Kredit : Berita Harian