Dalam jangka panjang, ASEAN perlu mengekalkan pendekatan proaktif melangkaui kerangka keselamatan tradisional dengan memperkukuh inisiatif pembinaan keyakinan. - Foto hiasan
Dalam jangka panjang, ASEAN perlu mengekalkan pendekatan proaktif melangkaui kerangka keselamatan tradisional dengan memperkukuh inisiatif pembinaan keyakinan. – Foto hiasan

SEJAK penubuhannya pada 8 Ogos 1967, ASEAN tidak pernah terlepas daripada kemelut tuntutan bertindih ke atas kedaulatan dan wilayah dalam kalangan negara anggotanya.

Antara cabaran terbesar terus menguji perpaduan dan keberkesanan organisasi serantau ini ialah konflik di Laut China Selatan, kawasan dibelenggu perebutan wilayah, persaingan pengaruh strategik serta pertembungan agenda nasional.

Kekayaan sumber alam seperti hasil perikanan dan rizab hidrokarbon, selain kedudukannya di laluan utama perkapalan antarabangsa, menjadikan perairan ini bukan sahaja koridor ekonomi dan perdagangan penting, bahkan medan pertikaian berpanjangan membabitkan Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam, China dan Taiwan.

Apa yang lebih membimbangkan dalam dua dekad kebelakangan ini ialah peningkatan aktiviti provokatif oleh beberapa negara penuntut dalam usaha mengukuhkan tuntutan masing-masing di kawasan pertikaian.

Antaranya, kerja penambakan dan pembinaan pulau buatan, penempatan pangkalan tentera serta gangguan bersifat kekerasan terhadap operasi ketenteraan dan aktiviti komersial negara penuntut lain.

Tindakan sebegini jika tidak dikawal berisiko mencetuskan salah tafsir dan ketegangan yang boleh mengancam keselamatan serantau, malah menggugat kestabilan ekonomi Asia Tenggara serta global.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila kuasa luar turut campur tangan. Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya seperti Jepun dan Australia sering menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan serta tindakan China didakwa mengekang hak negara lain untuk menikmati ‘kebebasan pelayaran’ di perairan antarabangsa.

Namun, kehadiran mereka juga berpotensi menambah dimensi baharu kepada persaingan geopolitik, sekali gus menjadikan Laut China Selatan medan pertembungan pengaruh kuasa besar.

Hakikatnya, penyelesaian muktamad terhadap pertikaian di Laut China Selatan sukar dicapai pada masa terdekat. Isu tuntutan wilayah bukan sahaja bersifat teknikal, bahkan berkait rapat dengan kedaulatan dan maruah negara.

Lebih mencabar lagi, pembabitan pelbagai negara berkepentingan dengan latar sejarah, identiti dan strategi geopolitik berbeza menjadikan konflik ini semakin kompleks dan sukar diselesaikan.

Dalam konteks ini, ASEAN berperanan penting sebagai jambatan diplomasi dan wadah penyelesaian aman. Sejak awal penubuhannya, organisasi ini berpegang teguh pada prinsip ‘ASEAN Way’ satu pendekatan menolak konfrontasi terbuka, sebaliknya menekankan diplomasi berterusan, konsensus dan persefahaman bersama.

Walaupun sering dikritik kerana kelemahannya yang dikatakan melambatkan proses membuat keputusan secara kolektif, pendekatan ini terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau selama lebih lima dekad.

Namun, ASEAN kini berdepan dilema semakin mencabar dalam menguruskan konflik serantau secara damai, terutama dalam isu sensitif seperti Laut China Selatan. Prinsip konsensus yang menjadi asas kepada perpaduan serantau sering mengehadkan keupayaannya untuk mengambil pendirian tegas secara kolektif.

Perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota dengan ada memilih pendekatan berhati-hati bagi mengekalkan hubungan baik dengan China, manakala yang lain mendesak tindakan lebih tegas berasaskan undang-undang antarabangsa, menonjolkan cabaran sebenar ASEAN: mengimbangi kepentingan nasional dengan solidariti serantau tanpa mengorbankan keutuhan dan kredibilitinya di pentas global.

Perkukuh perpaduan serantau

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuh perpaduan serantau dan mempercepatkan penggubalan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Ketiadaan instrumen perundangan yang mampu mengikat tingkah laku pihak bertelagah menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan CoC yang benar-benar bersifat mengikat dan boleh dikuatkuasakan.

Setiap negara penuntut juga perlu berpegang kepada prinsip menahan diri dengan mengelak sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi pertikaian.

Dikenali dengan amalan dasar luar pragmatik, berprinsip dan seimbang, Malaysia berada pada kedudukan unik untuk melaksanakan peranan sebagai pemudah cara yang dipercayai.

Tradisi diplomasi berhati-hati dan komitmen terhadap keamanan menjadikan Malaysia rakan rundingan diterima semua pihak. Keupayaan ini terbukti apabila Malaysia berjaya menjadi perantara dalam beberapa konflik serantau, termasuk mengusahakan genjatan senjata antara Thailand dengan Kemboja selepas insiden pertembungan sempadan berdarah pada Julai lalu.

Kejayaan ini membuktikan Malaysia berupaya memainkan peranan sebagai pendamai berwibawa dan dihormati.

Kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang, yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, bakal menjadi ujian penting terhadap kredibiliti ASEAN sebagai pengemudi utama dalam menentukan hala tuju keselamatan serantau.

Pada masa sama, kehadiran mereka turut menandakan pengiktirafan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai platform utama dalam memastikan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.

Dari perspektif pengurusan konflik, Laut China Selatan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai gelanggang pertikaian wilayah dan perebutan pengaruh geopolitik. Pengurusan aman, komprehensif dan lestari terhadap sumber alam serta keselamatan perairan ini menjadi tanggungjawab bersama semua negara anggota ASEAN.

Dalam jangka panjang, ASEAN perlu mengekalkan pendekatan proaktif melangkaui kerangka keselamatan tradisional dengan memperkukuh inisiatif pembinaan keyakinan.

Matlamat ini boleh direalisasikan melalui pelbagai mekanisme dan kerangka kerja sedia ada ASEAN, termasuk latihan bersama, perkongsian maklumat serta kerjasama dalam aspek keselamatan bukan tradisional seperti bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana.

Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan interoperabiliti dan memupuk saling kebergantungan, tetapi juga mengurangkan risiko salah tafsir ketenteraan yang boleh mencetuskan ketegangan baharu.

Pengurusan konflik di Laut China Selatan menuntut kebijaksanaan diplomasi, kesabaran politik dan keberanian moral untuk mengutamakan kepentingan bersama berbanding persaingan sempit.

Kejayaan ASEAN dalam mengendalikan isu ini akan menjadi ukuran sebenar terhadap keutuhan dan relevansinya sebagai organisasi serantau. Malaysia dan ASEAN kini berada di persimpangan sejarah, sama ada kekal sebagai pemerhati terhadap perubahan arus persaingan geopolitik atau tampil sebagai pendamai dan pengemudi ke arah perairan serantau yang lebih aman, stabil dan berperaturan.

Penulis adalah Pengarah Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *