Uqasha Senrose (kanan) hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding sebutan pertama kes perceraian terhadap suaminya, pelakon Kamal Adli. NSTP/Nabila Adlina Azahari
Uqasha Senrose (kanan) hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding sebutan pertama kes perceraian terhadap suaminya, pelakon Kamal Adli. NSTP/Nabila Adlina Azahari

KUALA LUMPUR: Prosiding sebutan pertama kes perceraian antara pelakon terkenal, Uqasha Senrose, 33, dan suaminya, Kamal Adli, 39, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini, ditangguhkan ke 28 Oktober ini.

Penangguhan itu dibuat selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran, meskipun dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, berkata anak guamnya hadir seawal jam 9 pagi, namun prosiding tidak dapat diteruskan susulan ketidakhadiran pihak defendan.

“Alhamdulillah, Uqasha hadir sendiri ke mahkamah pagi ini. Bagaimanapun, pihak defendan (Kamal) tidak dapat hadir dan hanya diwakili peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Saleh.

“Oleh sebab itu, kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu minggu hadapan bagi memberi ruang kepada pihak defendan hadir,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah.

Mengulas lanjut, Nurfarhana berkata, prosiding minggu hadapan akan menentukan sama ada pihak defendan bersetuju atau sebaliknya terhadap tuntutan perceraian yang difailkan anak guamnya.

Katanya, ketidaksefahaman menjadi sebab utama Uqasha memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Tujuan perceraian ini adalah kerana tiada persefahaman. Anak guam saya merasakan hubungan rumah tangga tidak lagi dapat diteruskan walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan perkahwinan.

“Namun, kita serahkan kepada takdir. Jika jodoh masih ada, alhamdulillah, tetapi jika tidak, inilah pengakhirannya buat Uqasha,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Uqasha memfailkan lafaz cerai pada 1 Oktober lalu, Nurfarhana mengesahkan perkara itu, namun menegaskan Kamal tidak menunjukkan usaha memujuk sejak tarikh tersebut.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya, tiada usaha ke arah itu setakat ini. Berapa lama mereka sudah tidak tinggal sebumbung, saya tidak boleh dedahkan kerana ia hal peribadi.

“Soal kebajikan anak juga belum disentuh dalam prosiding ini kerana tumpuan kini hanya kepada proses perceraian,” jelasnya.

Terdahulu, rumah tangga pasangan selebriti berkenaan dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menafikan ia berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Difahamkan, Uqasha kini menetap di rumah ibunya, manakala Kamal tinggal berasingan.

Sebelum ini, pelakon filem Bisikan Dosa itu beberapa kali mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat selepas memuat naik hantaran berunsur luahan hati di media sosial.

Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lebih.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *