
KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli dikatakan masih berusaha mempertahankan rumah tangganya bersama isteri, aktres Uqasha Senrose.
Peguam syarie yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh berkata, beliau dilantik sebagai wakil undang-undang pelakonitu selepas dimaklumkan mengenai permohonan perceraian dan menyerahkan kepada anak guamnya untuk menyelesaikan kemelut peribadi itu.
“Setakat perbincangan kami, Kamal masih mahu mempertahankan perkahwinan. Saya yakin Kamal ada usaha, cuma saya tidak pasti bagaimana ia akan berjalan kerana itu urusan peribadi mereka,” katanya kepada BH Online.
Abdul Hadi turut memaklumkan setakat ini Kamal berada dalam keadaan baik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, permohonan cerai menyebut mengenai ketidaksefahaman dan masalah berpanjangan, namun dokumen permohonan tidak menyatakan sejak bila masalah itu bermula.
Mengenai dakwaan pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung, Abdul Hadi berkata, beliau tidak dapat mengulas perkara tersebut kerana ia tidak termaktub dalam dokumen permohonan.
“Dalam permohonan itu tidak ada menyebut sama ada tinggal sebumbung atau tidak, jadi saya tak boleh ulas apa-apa mengenainya,” katanya.
Ditanya mengenai hantaran di Instagram (IG) yang mencetuskan kekeliruan tentang status perkahwinan pasangan itu, Abdul Hadi berkata beliau masih belum meneliti entri berkenaan.
“Saya belum semak hantaran yang dimuat naik oleh Uqasha. Jadi saya tidak dapat memberi komen kerana belum mengetahui butiran lanjut mengenainya,” jelas Abdul Hadi.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi dan komen daripada Kamal tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan.
Kredit : Berita Harian