
KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun melayari bahtera perkahwinan, rumah tangga pelakon veteran, Arash Mohamad, 55, dilaporkan berakhir setahun lalu.
Berita perceraian itu dikongsi bekas isteri, Noor Afidahwati Mohammad, 45, di akaun Instagramnya sebagai langkah mengelak fitnah dan salah faham dalam kalangan peminat.
“Bismillahirahmannirrahim… Tujuan posting ini hanyalah untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

“Setahun sudah berlalu. Kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah.
“Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing.
“Semoga tenang ini kekal, dan doa yang baik terus mengiringi setiap langkah,” tulisnya.
Sementara itu, usaha mendapatkan kenyataan Arash tidak berhasil, namun spekulasi mengenai rumah tangga pasangan ini lebih kukuh apabila aktor itu sudah lama tidak memuat naik foto isterinya di media sosial.
Tinjauan mendapati kali terakhir Arash memuat naik gambar bersama Noor Afidahwati adalah pada April 2023, manakala Noor Afidahwati pula terakhir memuat naik foto bersama bekas suami pada 2020.

Sebelum ini, Arash pernah mengakui reda dengan takdir yang tertulis apabila mereka masih belum dikurniakan zuriat.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2007.
Kredit : Berita Harian