KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, yang sah bercerai talak satu dengan aktres Uqasha Senrose, mengharapkan masih ada ruang dan peluang untuk dia kembali berbaik dengan bekas isterinya itu.
Kamal berkata, keputusan untuk melafazkan cerai adalah perkara paling berat yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
“Sumpah, demi Allah, saya memang tak nak lepaskan pun.
“Tapi saya kena lepaskan sebab mungkin daripada situ saya boleh dapat ruang dan peluang untuk rujuk kembali,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Kamal, dia sebenarnya tidak cukup kuat untuk melafazkan cerai terhadap Uqasha dan menyifatkan hari ini sebagai hari paling tidak menyeronokkan dalam hidupnya.
“Saya tak nak jawab dan saya tak boleh nak bercakap. Saya memang tak mampu nak lafaz.
“Hari ini hari paling tak ‘best’ dalam hidup saya. Saya tak kuat sebenarnya, saya tak kuat nak bercakap dengan semua orang.
“Saya memang tak nak (bercerai). Itu saja. Kalau tanya saya, saya tak nak sebenarnya,” katanya dengan air mata bertakung.

Uqasha Senrose sah bercerai talak satu dengan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini. – Foto NSTP/Aziah Azmee
Sementara itu, peguam yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh, berkata kes hari ini sepatutnya melalui prosiding hakam.
Bagaimanapun, atas persetujuan kedua-dua pihak, Kamal melafazkan cerai terhadap Uqasha hari ini.
“Pada hari ini, mereka sah bercerai pada jam 12.56 petang dengan talak raj’ie atas kebenaran mahkamah di hadapan hakim.
“Kamal masih berharap ada sinar. Jika kita berada di tempat beliau, memang jelas dia masih menyimpan harapan.
“Oleh itu, talak raj’ie ini memberi ruang kerana ia adalah cerai yang boleh dirujuk. Dalam tempoh ini, Kamal masih boleh berusaha sekiranya masih ada jodoh antara mereka.
“Jika tidak, maka setakat itu sahajalah jodoh mereka berdua,” katanya.
Kredit : Berita Harian
