KUALA LUMPUR: Pelakon, Ezzanie Jasny, 27, terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama kedua ibu bapanya, dipercayai malam tadi.
Menurut pelakon drama Dia Bukan Syurga itu, dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya terselamat dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, Ezzanie memaklumkan keadaannya masih belum pulih sepenuhnya kerana mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Saya terbabit dalam kemalangan bersama ibu bapa saya semalam.
“Alhamdulillah, ibu bapa saya selamat, tetapi keadaan saya belum baik sepenuhnya.
“Saya mengalami kecederaan pada kepala dan masih tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story (IGs).
Menurut Ezzanie, dia masih menunggu keputusan pemeriksaan doktor yang dijadualkan pagi ini.
Menerusi perkongsian sama, pelakon itu turut memohon doa orang ramai agar dia dan keluarganya diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
Bagaimanapun, Ezzanie tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai lokasi atau punca kemalangan berkenaan.
Kredit : Berita Harian
