RAWANG: Usahawan, Datuk Seri Adnan Abu Bakar menjelaskan tindakan memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi, bukan kerana masih belum ‘move on’ atau gila talak.

Sebaliknya, Adnan, atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, berkata permohonan itu dibuat bagi mendapatkan kepastian mengenai status lafaz rujuk yang dilakukan terhadap Adira pada Mei 2024.

“Ini bukan soal ‘move on’ atau gila talak. Sekarang status saya dengan dia masih tergantung, sama ada saya masih suami orang atau tidak. Sebab itu saya memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk, untuk memastikan lafaz rujuk yang dibuat sah atau tidak.

“Kalau hakim kata lafaz rujuk itu sah, bermakna saya masih suami dia. Kalau tidak sah, masing-masing boleh membawa haluan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas prosiding lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, pagi tadi.

Menurut Adnan, langkah membawa perkara itu ke mahkamah dibuat bagi mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan, khususnya berkaitan hukum dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Saya rujuk kes ini ke mahkamah sebab tak nak jadi isu kemudian hari. Soal dosa pahala ini saya yang akan tanggung.

“Saya sudah ada banyak dosa, jadi saya tak nak tambah lagi. Kalau saya tak failkan dan tiba-tiba saya atau Adira berkahwin lain, itu akan menyusahkan. Ini bukan pasal tak ‘move on’, tapi berkaitan hukum,” katanya.

Ditanya mengapa permohonan pengesahan lafaz rujuk hanya difailkan selepas hampir setahun perceraian, Adnan enggan mengulas lanjut.

“Itu kena tunggu 16 Februari nanti kerana saya tak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Kita tunggu sahaja perbicaraan yang akan dijalankan secara tertutup,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan turut mendakwa dia kini berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan penyanyi itu berkaitan hal anak-anak.

Katanya, buat masa ini dia terpaksa berhubung melalui orang tengah seperti ahli keluarga atau pembantu rumah Adira.

“Itulah permasalahan saya sekarang, susah untuk berkomunikasi pasal anak. Kalau boleh, saya nak berkomunikasi terus dengan Adira sebab dia ibu kepada anak-anak saya.

“Saya tak nak berkomunikasi melalui orang tengah seperti pembantu rumah. Itu sahaja yang saya minta.

“Jangan risau, saya tak ada cerita lain. Hanya pasal anak,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada lafaz rujuk dibuat susulan dakwaan Adira sudah mempunyai teman lelaki, Adnan berkata dia tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Dia ada kekasih ke? Saya pun tak tahu. Saya tak tahu sebab di media sosial netizen tuduh saya pula ada kekasih. Tak ada. Saya memang tak tahu pasal benda itu,” katanya

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *