Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya menegaskan bahawa menjaga batas pergaulan anak-anak merupakan perkara penting yang dititikberatkan, khususnya apabila mereka semakin membesar.
Termasuk bab sentuhan

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, itu berkongsi bahawa dia dan suami Awal Ashaari, sering memainkan berperanan penting dalam mendidik anak-anak agar mereka memahami tentang batas pergaulan.
Bila anak perempuan semakin besar, sudah tentu ada batasan yang perlu dijaga.
Sebagai ibu bapa kami melihat perkara ini dengan sangat serius.
Bagi saya, soal batas pergaulan adalah perkara paling penting.
Anak perlu tahu apa yang boleh dan tidak, termasuk soal sentuhan.
Mereka perlu faham tentang menjaga batas sejak awal.
Scha berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran beg tangan Ayaaya koleksi The Nexx yang berlangsung di Club21Lab, Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Hadkan penggunaan telefon pintar

Berkongsi lanjut, Scha berkata, pengalaman menjadi seorang ibu menjadikan dirinya lebih sensitif dan berwaspada, meskipun ada kalanya kebimbangan itu disifatkan berlebihan.
Sebagai ibu bapa, banyak perkara baharu yang saya dan Awal sendiri baru rasai.
Ada kerisauan yang kadang-kadang orang lain anggap saya terlebih berfikir, tetapi bagi saya inilah naluri seorang ibu.
Kalau kita ajar dari sekarang, insya-Allah mereka akan ada pegangan dan tidak terlalu bebas apabila membesar nanti.
Menurut Scha, dalam membentuk keperibadian anak-anak, ibu bapa perlu menetapkan limitasi supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif.
Scha turut menekankan bahawa pengawasan dari peringkat awal sangat penting, kerana sikap ibu bapa yang tidak tegas boleh menyebabkan anak-anak terdedah kepada kejutan budaya.
Selain itu, Scha dan Awal turut mengawal penggunaan peranti dan aplikasi yang digunakan anak-anak mereka termasuk mengehadkan akses di media sosial.
Telefon dan iPad hanya boleh digunakan pada hujung minggu.
Lara hanya boleh pegang telefon atau iPad pada hari Sabtu dan Ahad.
Dia tidak mempunyai akses kepada media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Facebook.
Aplikasi yang dibenarkan juga terhad dan sentiasa dipantau.
Kalau saya rasa dia terlalu lama menghadap skrin, saya akan tutup akses tersebut untuk anak-anak saya.
Teknologi memang sebahagian daripada dunia sekarang, tetapi yang paling penting adalah tahu dan jaga batas.
Sekadar info, Scha dan Awal bergelar sebagai suami isteri pada 4 Mei 2012, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak perempuan, Lara Alana yang kini berusia 12 tahun serta Lyla Amina, lima tahun.
Kredit : Oh bulan
