KUALA LUMPUR: Pengasas dan penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menyifatkan kesudian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu dengannya baru-baru ini sebagai sinar baharu buat penggiat seni tanah air.

Pertemuan itu dimanfaatkan sepenuhnya Yusof untuk menyuarakan isu kritikal yang membelenggu industri kreatif, khususnya berkaitan kadar duti hiburan 25 peratus yang disifatkan terlalu membebankan.

Dalam pertemuan eksklusif kira-kira 20 minit minggu lalu, Yusof turut ditemani anak perempuannya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Skop Productions, Syamin Yusof.

Yusof yang juga Penasihat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berkata, beliau membawa mandat penggiat industri yang berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula struktur cukai sedia ada demi kelangsungan ekosistem industri filem tempatan.

“Saya bangkitkan isu cukai hiburan yang tinggi iaitu 25 peratus kerana kebiasaannya di luar negara, kadar tertinggi hanya sekitar enam peratus.

“Namun di negara kita, cukai dikenakan sehingga 25 peratus, manakala yang paling rendah setakat ini adalah di Wilayah Persekutuan iaitu 10 peratus,” katanya kepada BH Online.

Menurut Yusof, kadar duti hiburan yang tinggi bukan sahaja membebankan pembikin filem, malah memberi tekanan kepada pengusaha pawagam.

“Jumlah yang besar terpaksa diserahkan kepada kerajaan sebelum keuntungan diagihkan.

“Katakan sesebuah filem mengutip RM10 juta, sebanyak RM2.5 juta perlu dibayar sebagai cukai. Baki 75 peratus pula perlu diagihkan dengan pihak pawagam.

“Margin keuntungan akhirnya menjadi semakin kecil bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Tambahnya, pengurangan kadar duti hiburan bukan sahaja mampu menyelamatkan penerbit daripada kerugian, malah membantu pawagam terus bertahan dalam suasana ekonomi mencabar.

“Pihak pawagam juga memaklumkan sekiranya cukai dapat diturunkan, kita boleh saling membantu. Penerbit boleh bertahan, pawagam juga boleh terus bernafas,” katanya.

Mengulas reaksi Perdana Menteri, Yusof berkata Datuk Seri Anwar mengambil maklum isu dibangkitkan dan memaklumkan akan berhubung dengan kerajaan negeri berkaitan perkara itu.

Selain perbincangan serius, pertemuan tersebut turut diserikan dengan suasana santai apabila Perdana Menteri mendedahkan beliau mengikuti perkembangan filem tempatan dan menonton karya terbitan Skop Productions.

“Beliau mengucapkan tahniah dan memaklumkan pernah menonton filem terbitan Skop seperti Sheriff: Narko Integriti dan Blood Brothers: Bara Naga.

“Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha menghasilkan naskhah yang berjaya menambat hati penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa di sebalik jadual padat.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai kesudian Perdana Menteri mendengar keluhan penggiat industri filem.

“Saya berharap pertemuan ini dapat menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam industri perfileman negara,” katanya.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *