KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Balqis, mengakui berdepan isu kepercayaan atau ‘trust issues’ sejak kecil, sekali gus membentuk keperibadiannya yang lebih berhati-hati dalam pergaulan.
Pengakuan itu dikongsikan Balqis menerusi audiosiar Studio Sembang yang dihoskan oleh pelakon, Amelia Henderson. Rakaman dibuat kira-kira setahun lalu, namun kembali menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Puteri Balqis berkata, sejak kecil dia tidak pernah memikirkan soal kelebihan atau populariti sebagai pelakon, sebaliknya lakonan adalah minat dan jiwanya.
“Mengenai zaman kanak-kanak saya, saya masih berseronok tetapi dengan cara saya sendiri. Saya menjadi seorang introvert apabila memasuki industri ini. Sebelum itu, saya seorang kanak-kanak yang banyak bercakap dan saya rasa ramai tahu perkara itu.
“Sekarang, saya lebih banyak berada di tepi bersama ibu saya kerana saya tahu risiko apabila terlalu banyak bercakap. Apabila berdepan pengkhianatan dan kesedihan, saya lebih selesa menjadi diri saya di kalangan orang yang saya sayang,” katanya.
Menurut Puteri Balqis, pengalaman membesar dalam industri hiburan menjadikannya lebih berhati-hati dan mudah berasa cemas apabila berada dalam kelompok tertentu.
“Apabila saya bersama kumpulan yang melihat saya membesar, saya jadi lebih berhati-hati dan mudah cemas kerana saya ada masalah trust issues. Disebabkan itu, saya sukar mempercayai orang,” katanya.
Ketika ditanya Amelia mengenai nasihat yang akan diberikan sekiranya bertemu dirinya pada usia kecil, Balqis tanpa berselindung berkata dia akan menasihatkan dirinya supaya tidak mudah mempercayai sesiapa.
“Don’t trust anybody (jangan percaya sesiapa). Diri kecil saya dikelilingi ramai orang dan bercakap dengan semua tanpa rasa curiga. Dia terluka dalam pelbagai cara, tetapi tidak pernah sedar.
“Diri kecil itu terlalu polos dan tidak memahami manipulasi atau niat orang yang mengambil kesempatan. Jika saya bercakap dengan diri kecil saya hari ini, saya rasa dia akan faham. Dia seorang gadis yang berani dan baik hati, tetapi saya tidak ingin menjadi dirinya lagi,” katanya.
Mengulas mengenai kehidupan sosialnya, Balqis mengakui tidak ramai mempunyai kawan, namun tidak pernah berasa sunyi.
“Saya hanya ada seorang kawan dan dia mempunyai pemikiran yang sama seperti saya. Kami bekerja, kami bertahan dan kami gembira bersama keluarga dengan cara sederhana.
“Saya bertemu dia di set Amira Drummer dan dia kawan yang sangat baik. Saya sangat sayangkan dia,” katanya.
Balqis berkata, perbezaan gaya hidup turut menyukarkan orang seusianya memahami dirinya.
“Rakan sebaya ajak keluar bersosial, tetapi saya tidak boleh kerana saya ada tanggungjawab dan bil yang perlu dibayar. Jadi sukar untuk mereka faham, tetapi bagi saya, ini satu kelebihan kerana saya dapat bina asas yang baik untuk keluarga.
“Keluarga saya sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Mengimbas pembabitannya dalam dunia lakonan sejak usia tiga tahun, Puteri Balqis berkata kenangan paling jelas adalah sokongan berterusan ibunya.
“Saya hanya ingat berlari ke sana sini, tetapi yang paling saya ingat adalah ibu saya sentiasa ada. Dalam lakonan, ibu saya pengkritik terbesar saya.
“Saya mempunyai imaginasi yang besar dan sejak usia awal sudah menonton filem bertemakan perang. Sebab itu, apabila mula berlakon, jiwa saya lebih cenderung kepada karya bersifat gelap
“Sejak usia tiga tahun hingga 17 tahun, ibu saya mengajar teknik lakonan supaya tidak ‘over’. Emosi dipamerkan melalui mata, perasaan dan kesedihan. Walaupun ada yang minta saya pamerkan emosi lebih, teknik ibu saya berbeza dan di situlah saya mendapat pandangan yang berbeza daripada orang lain,” katanya.
Kredit : Berita Harian
