KUALA LUMPUR: Pelakon, Amyza Aznan, berkongsi satu lagi berita duka apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang.
Perkhabaran menyayat hati itu dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, sempena Ramadan yang juga bulan kelahiran anak-anaknya.
Menurut Amyza, situasi sama berlaku tahun lalu apabila anak sulungnya, Andre Mikhail, turut disahkan menghidap kanser paru-paru pada bulan dan waktu yang hampir sama.
“Assalamualaikum, salam Ramadan. Hari ini Ramadan pertama dalam bulan Februari, bulan kelahiran anak-anak saya.
“Sama seperti yang berlaku tahun lalu, pada bulan Ramadan dan bulan kelahiran, anak saya Andre Mikhail, 18, disahkan kanser paru-paru.
“Dan tahun ini, pada bulan Ramadan juga dan bulan Februari iaitu bulan kelahiran anak saya Adrian Adam pula disahkan kanser tulang,” kongsinya.
Sebagai ibu, Amyza mengakui menyimpan pelbagai rasa yang sukar diluahkan.
“Saya manusia dan juga ibu, ada pelbagai rasa tetapi tidak terluah dan takut untuk meluah.
“Hanya mampu memohon doa untuk anak-anak saya, Andre Mikhail dan Adrian Adam,” tulisnya lagi.
Semalam, Amyza turut berkongsi perkembangan terkini keadaan Andre yang sedang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Paru-paru kanan remaja itu dilaporkan tidak lagi berfungsi berikutan saiz tumor yang semakin membesar.
Prosedur untuk menyedut cecair di paru-paru terpaksa dibatalkan kerana tiada cecair dikesan, manakala saiz tumor pula masih belum cukup kecil untuk membolehkan pembedahan dilakukan.
Amyza sekali lagi memohon doa orang ramai agar segala urusan rawatan anaknya dipermudahkan dan berharap ada keajaiban buat kesembuhan mereka.
Pada 15 Februari tahun lalu, Amyza mendedahkan Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Kredit : Berita Harian
