KUALA LUMPUR: Penyanyi, Indah Ruhaila selamat melahirkan cahaya mata sulung, sekali gus menamatkan penantian panjangnya bersama suami, Shariff Taufik, untuk bergelar ibu bapa.
Berita gembira itu dikongsikan Shariff menerusi hantaran di Instagram yang meluahkan rasa syukur atas kurniaan berharga tersebut.
Dalam perkongsian itu, Shariff menyifatkan kelahiran cahaya mata mereka sebagai amanah terindah daripada Allah SWT selepas melalui tempoh penantian selama lapan tahun.
“Masya-Allah, TabarakAllah. Amanah terindah daripada Allah SWT telah tiba.
“Terima kasih Ya Allah atas kurniaan-Mu yang tidak ternilai ini. Semoga membesar di bawah lindungan dan rahmat-Mu sentiasa, anakku,” tulisnya.
Bagaimanapun, pasangan itu masih belum mendedahkan jantina serta nama cahaya mata sulung mereka kepada umum.
Perkongsian itu turut mengundang perhatian ramai apabila ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah serta doa daripada peminat dan rakan selebriti.
Kredit : Berita Harian
