KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan pelakon, Syida Melvin dilapor memfailkan permohonan cerai terhadap suami, Syafiq Azim, pada Disember tahun lalu.
NST Online dalam laporan menyebut, permohonan cerai itu difailkan Syida di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, namun, perkara itu hanya mula diketahui umum, baru-baru ini, memetik laporan portal hiburan OhBulan!.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Syida, iaitu Nurul Jamaliah, yang memaklumkan sebutan pertama kes berkenaan berlangsung pada 2 April lalu.
Menurutnya, walaupun permohonan difailkan lebih awal, proses berkenaan tertangguh apabila Syida dan Syafiq masing-masing cuba mencari jalan perdamaian.
“Syida memfailkan perceraian pada Disember tahun lalu, namun, sebutan pertama hanya dibuat pada 2 April lalu,” katanya.
Nurul Jamaliah berkata, mahkamah sebelum ini menangguhkan prosiding bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan kemelut rumah tangga, namun, Syida, 29, akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan proses perceraian.
“Jika mengikut garis masa, perbicaraan pernah ditangguhkan sekali dengan tujuan berdamai, namun, Syida tetap bertekad untuk meneruskan perceraian,” katanya.
Syida atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin mendirikan rumah tangga dengan Syafiq atau nama penuh, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan selama enam tahun itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – NST Online
Kredit : Berita Harian
