SHAH ALAM: Penyanyi Tak Adil, Aisha Retno mengakui keletihan berikutan jadual seni padat penangan lagu raya, Jodoh Lebaran yang mendapat sambutan hangat peminat.

Sehubungan itu, Aisha tidak menyalahkan netizen yang melihat dirinya penat ketika mendendangkan lagu Tak Adil yang diciptanya bersama adik, Radi, pada Anugerah Juara Lagu Ke-40 Separuh Akhir (AJL 40 SA) di Studio 1, Glenmarie di sini, kelmarin.

“Saya memang jangka netizen akan cakap saya penat. Saya terima dan tidak menafikan. Saya kini berada pada tahap keletihan disebabkan sambutan hangat single Jodoh Lebaran.

“Banyak jemputan persembahan saya tidak tolak kerana anggap semua itu rezeki. Saya tidak salahkan sesiapa.

“Apabila diumumkan saya bolos AJL 40, saya terkejut. Mungkin ada pihak fikir orang lain lebih layak. Namun, ini adalah AJL dan juri ada pendapat mengapa lagu saya terpilih,” katanya kepada BH Online.

Aisha menerima setiap pendapat dan teguran dengan positif dan berterima kasih atas keprihatinan orang ramai.

Sementara itu, Aisha mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberi sambutan baik terhadap lagu Jodoh Lebaran hingga merekodkan hampir 20 juta tontonan di YouTube.

“Alhamdulillah… Terima kasih kepada rakyat Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang menyokong. Saya tidak sangka sambutan sebesar ini selepas berdepan tekanan berkarya susulan kejayaan Ketipak Ketipung Raya,” katanya.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *