Tak Jadi Berpisah Kerana ‘Tidak Suci’, Prosiding Cerai Syida Melvin Ditangguh – “Saya Tak Sangka Ini Semua Berlaku”
Prosiding lafaz cerai membabitkan pelakon dan usahawan, Syida Melvin yang dijadual berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis terpaksa ditangguhkan kerana aktres itu berada dalam keadaan tidak suci (haid).
Peguam syarie yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah berkata, pihak defendan telah menyatakan persetujuan untuk melafazkan cerai, namun prosiding tidak dapat diteruskan atas faktor syarak.
“Alhamdulillah hari ini kita sudah selesaikan laporan JKP tapi ada pihak defendan ada mengutarakan pendirian mereka yang dia bersetuju untuk melafazkan cerai.
“Namun kes ini terpaksa ditangguhkan pada 12 Ogos untuk tarikh pihak defendan lafazkan cerai kerana Syida dalam keadaan tidak suci (haid).
“Alhamdulillah kes ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Menurut Nurul Jamaliah, Hakim Syarie Norul Aina Bahari menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh baharu bagi prosiding lafaz cerai.
“Saya Tak Sangka Perkara Ini Akan Berlaku”
Sementara itu, Syida mengakui tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina akhirnya menuju ke penghujung, namun reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
Saya pun tak sangka (perceraian) perkara ini akan berlaku tetapi semuanya sudah tertulis.
“Bagi saya, rumah tangga kami sudah tidak boleh diselesaikan. Lama juga saya simpan rahsia ini tapi lama-kelamaan saya tidak mampu untuk terus berahsia.
“Mungkin isu yang viral tempoh hari (perkongsian di media sosial) adalah kerana emosi sebab mengenangkan apa yang berlaku pada saya dan anak-anak,” ujarnya.
Terdahulu, pada Disember tahun lalu, Syida dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Untuk rekod, Syida atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Kredit : Beautifulnara