KUALA LUMPUR: Hari ini menjadi penentuan sama ada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau diperintah membela diri atas kes pengabaian kanak-kanak autistik itu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh dijangka membaca keputusan pada akhir kes pendakwaan pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Mahkamah akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, berhubung pertuduhan pengabaian anak mereka.

Sekiranya gagal, kedua-dua tertuduh akan dibebaskan serta-merta. Namun, jika mahkamah berpendapat sebaliknya, pasangan berusia 30 tahun itu akan diperintahkan membela diri bagi menangkis pertuduhan.

Mahkamah turut memberikan tiga pilihan kepada tertuduh untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas, memberi keterangan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh yang tidak boleh disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.

Mahkamah juga berkemungkinan memutuskan hanya seorang daripada mereka perlu membela diri, manakala seorang lagi dibebaskan.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun itu.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, mereka didakwa bersama-sama sebagai penjaga kanak-kanak itu dengan cuai sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam keesokan harinya, bermula dari Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Pangsapuri Idaman pada jam 10 malam.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *