KOTA KINABALU: Prosiding inkues kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersambung di Mahkamah Koroner di sini, hari ini, dengan seorang doktor dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dijangka memberi keterangan.

Seorang daripada barisan peguam mewakili keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, berkata sekiranya masa mengizinkan, ketua warden asrama juga berkemungkinan akan dipanggil selepas doktor terbabit selesai menjadi saksi.

“Sekiranya pemeriksaan terhadap ketua warden berkenaan dapat diselesaikan pada minggu ini, ada besar kemungkinan saksi kanak-kanak akan mula memberikan keterangan sejurus selepas itu.

“Namun jika ia tidak dapat diselesaikan, maka kanak-kanak berkenaan dijangka memberi keterangan pada minggu depan,” katanya kepada New Straits Times.

Hari ini adalah hari kelapan prosiding inkues kes kematian Zara Qairina, 13. Setakat ini, enam saksi telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi berkenaan ialah pakar patologi HQE, Dr Jessie Hiu yang melakukan bedah siasat; pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh; dan pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, Dr Janefer Voo.

Selain itu, pegawai perubatan dari Jabatan Neurosurgeri HQE, Dr Pavankumar Balachandran; pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus; serta pengawal keselamatan yang bertugas ketika Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya.

Mahkamah Koroner tiada mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) secara rasmi tetapi mengingatkan semua pihak, termasuk media, berhubung tanggungjawab mereka bawah Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.

Sehubungan itu, lima remaja yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak hanya dikenali dengan abjad A, B, C, D dan E sepanjang prosiding.

Nama kanak-kanak lain yang disebut di mahkamah juga tidak didedahkan oleh media bagi melindungi identiti mereka.

Prosiding inkues itu yang bermula 3 September lalu, dijadualkan berlangsung pada tarikh-tarikh ditetapkan hingga 30 September ini.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *