KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli, 40, yang disahkan bercerai dengan Uqasha Senrose, semalam, menerima kata-kata semangat daripada rakan selebriti dan netizen yang meminta dia terus kuat, sabar dan reda dalam menghadapi ujian kehidupan.
Melalui hantaran dikemas kini di Instagram (IG) kira-kira 16 jam lalu, Kamal dilihat memuat naik sekeping foto dengan kapsyen ditulis ‘Hancur’, yang mungkin menggambarkan situasi keretakan hatinya ketika ini.
Meninjau ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengguna media sosial seakan-akan memahami apa dimaksudkan Kamal daripada hantaran ringkas itu.
“Allah uji sebab Allah sayang! Stay strong my brother,” tulis penyampai radio, Radin.
“Kuat Mal (Kamal),” ujar Amir Raja Lawak

“Banyakkan bersabar Kamal.., Doa, zikir dan selawat jangan tinggal. Minta Allah berikan kekuatan dan ketenangan,” tulis netizen.
“Tak apa sekurang-kurangnya Kamal sudah pertahankan perkahwinan. Semoga yang baik-baik selalu buat Kamal dan Hawra,” kata seorang warganet.
Semalam, Kamal sah bercerai talak satu dengan Uqasha, 34, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada jam 12.56 tengah hari, selepas empat tahun hidup bersama.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Kamal dilapor mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana pernah sudi menerima dirinya sebagai suami, termasuk mengajar kehidupan berumah tangga.
Mengakui menghargai segala dipelajari itu, Kamal menyifatkan bekas isterinya juga banyak mengajar dia bagaimana menjadi lelaki serta memohon maaf kepada Uqasha jika pernah mengguris hati wanita itu.
Turut meletakkan segala kesalahan kepada dirinya sendiri, Kamal memaklumkan jika dia seorang suami yang baik, tidak mungkin perkara seperti cerai itu berlaku berikutan gagal membahagiakan isteri.
Sebelum itu, Uqasha bertindak memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Syariah pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan sudah tiada persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Kamal dan Uqasha bernikah pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat di Janda Baik, Pahang serta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Kredit : Berita Harian
